Pertama Kali Menggunakan Ghost Untuk Blogging

Alhamdulillah, akhirnya dapat juga saya memasang dan menggunakan Ghost untuk blogging. Ini setelah dua hari cubaan memasang platform ini pada server tidak berjaya.

Walau bagaimanapun, dua hari yang saya lalui ini berbaloi kerana semakin banyak yang saya belajar mengenai cara mengurus dan menggunakan cloud vps Vultr. Ini adalah post pertama saya dalam blog yang menggunakan Ghost.

Ghost Sebagai Platform Blogging

Blogger-blogger semestinya sudah kenal dengan Blogspot dan WordPress. Kedua-duanya adalah antara medium blogging yang popular. Saya sendiri banyak menggunakan WordPress untuk membina blog dan web.

Walau bagaimanapun, sekarang ini kebanyakan penggunaan WordPress oleh saya adalah untuk membina web-web yang ditempah oleh klien. Ini kerana, WordPress telah berkembang menjadi lebih daripada sekadar platform untuk blogging.

Inilah antara sebab Ghost diwujudkan. Malah pengasas Ghost, John O’Nolan adalah salah seorang penyumbang dalam membangunkan WordPress. Dalam satu artikel di blognya sebelum mewujudkan Ghost, beliau menyatakan:

WordPress, by anyone’s definition, is no longer “just a blogging platform”

Oleh, itu, Ghost diwujudkan semata-mata sebagai platform blogging bagi menggantikan WordPress yang telah berubah fungsi menjadi ‘fully fledged CMS (content management system)’.

ghost logo

Sebab Saya Menggunakan Ghost

Saya telah mempunyai beberapa buah blog yang menggunakan WordPress. Satu perkara yang saya sedar setiap kali menggunakan WordPress ialah, saya cenderung untuk menghabiskan masa menukar tema, plugin dan selainnya sebelum membuat perkara yang paling penting, iaitu menulis artikel blog.

Sejak itu, saya cuba mencari cara untuk mengatasi masalah ini dan setakat ini, Ghost memenuhi fungsi ini. Malah, sebagai fakta, artikel pertama ini ditulis kurang sejam sejak blog ini mula live. Jika dengan WordPress, selalunya saya akan mula menulis selepas 24 jam blog dibina.

Selain itu, inilah antara sebab lain saya mula menggunakan Ghost:

  1. Saya suka mencuba perkara baru terutama yang berkaitan teknologi komputer dan pembangunan web
  2. Ghost lebih pantas. Malah, kebanyakan masa saya di WordPress turut dihabiskan untuk menjadikan blog lebih pantas.
  3. Saya sukakan teks editor (ruang menulis artikel) yang simple
  4. Markdown yang digunakan untuk menulis artikel sangat ‘awesome’ untuk digunakan.

Ingin mencari sebab untuk mula menggunakan Ghost? Boleh rujuk artikel ini.

Rumusan

Menggunakan Ghost lebih memudahkan saya untuk menulis secara berstruktur. Walaupun baru pertama kali menggunakannya, saya telah mampu untuk mengingat dan menggunakan sintaks penulisan Markdown.

Saya mungkin akan beralih kepada platform blogging yang lain ataupun mungkin kembali kepada WordPress (sememangnya saya masih menggunakan WordPress) jika saya mendapati pada akhirnya Ghost tidak dapat memenuhi kehendak blogging saya.

Walau bagaimanapun, setakat ini, saya akan terus bereksperimen dan menggunakan Ghost untuk blogging terutamanya untuk di domain dan blog Be A Better Self ini.

Kemaskini – Blog Be A Better Self yang asal (alimie.space) telah digabungkan dengan blog peribadi saya iaitu di https://alimie.com ini.

One Reply to “Pertama Kali Menggunakan Ghost Untuk Blogging”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *