Keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) 2016

Hari ini keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) diumumkan. Jika dilihat kepada rumusan keputusan tersebut, mungkin ada yang terkejut dengan penurunan mendadak bilangan murid yang mendapat A dalam semua matapelajaran.

UPSR 2016

Ini adalah keputusan UPSR bagi tahun ini:

keputusan UPSR 2016

Daripada lebih 450000 orang calon yang menduduki UPSR pada tahun ini, hanya hampir 5000 yang mendapat semua A. Siapa yang tidak terkejut bukan?

Walau bagaimanapun, sebagai guru, saya sendiri ada menjangkakan penurunan dalam keputusan UPSR pada tahun ini, walaupun mungkin tidak sebegini drastik.

Ini kerana penggunaan format terbaru ini sedikit berlainan daripada kebiasaan tahun-tahun sebelum ini. Soalan pada tahun ini lebih memerlukan murid untuk berfikir lebih daripada aras pengetahuan dan kefahaman semata-mata.

Bahkan, saya ada melihat contoh soalan sewaktu ujian ini berlangsung tidak lama dulu. Hampir semua rakan sekerja saya menyuarakan kebimbangan apabila membandingkan aras kesukaran soalan yang ditanyakan dalam ujian dengan tahap penguasaan anak didik masing-masing.

Implikasi Keputusan UPSR

Implikasi paling besar yang mungkin dirasakan terutama oleh murid dan ibu bapa ialah dari segi emosi. Lebih-lebih lagi jika terdapat abang dan kakak murid tersebut memperoleh semua A dalam ujian yang sama pada tahun sebelum ini.

Dari segi peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di sekolah berasrama penuh (SBP) ataupun Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mungkin sedikit terjejas.

Tapi hey, 5000 murid 6A tidak akan cukup bagi memenuhkan berpuluh atau beratus sekolah berasrama penuh yang ada di Malaysia ini. Jadi, kelonggaran dalam syarat layak kemasukan ke sekolah berkenaan mungkin akan dilaksanakan.

Walau bagaimanpun, perlu diingat bahawa kejayaan masa depan murid-murid ini bukan terletak pada keputusan ujian. Akan tetapi, bergantung kepada kecekapan berfikir dan bertindak dalam memperguna ilmu yang diperoleh di sekolah dalam dunia nyata.

Dalam hal ini, saya suka dan sangat bersetuju dengan pandangan yang dinyatakan oleh saudara Irwan Dahnil dalam satu artikel di The Vocket.

Rumusan

Oleh itu, jika ada yang terbaca artikel ini, jangan terlalu bimbang mengenai masa depan anda ataupun anak anda.

Sebagai penutup, suka untuk saya kongsikan satu madah yang berlegar dalam grup WhatsApp yang saya sertai:

UPSR….

‘Sori abah tak dpt 6 A…’

Tidak mengapa, tetapi pastikan adik BELAJAR.

Adik mungkin tak dapat A matematik, tetapi adik tahu mengira duit baki selepas membeli roti john. Maknanya adik BELAJAR.

Adik mungkin tak dapat A bahasa Melayu, tetapi adik boleh mengirim surat kepada atok opah di kampung. Maknanya adik BELAJAR.

Adik mungkin tak dapat A Sains, tetapi adik tahu torch light yang tidak menyala perlu ditukar bateri. Maknanya adik BELAJAR.

Adik mungkin tak dapat A Bahasa Inggeris, tetapi adik boleh menunjukkan jalan kepada pelancong yang bertanya arah. Maknanya adik BELAJAR.

Menggunakan ilmu lebih baik daripada hanya tersimpan sebagai memori.

Teruskan belajar. Tak kisahlah tiada A sekalipun, kerana ilmu dicari untuk diamal bukan sekadar cantik diusung atas sekeping sijil.

SEMANGAT BUAT ANAK2 UPSR serta ibubapa.Teruskan mendidik anak2,moga cemerlang d dunia & akhirat.


Kredit Infografik: KPM dan MySumber

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *