Kisah Pengasas KFC Yang Tak Ramai Tahu

Ok, mungkin ramai yang tahu. Tapi tak salah rasanya untuk saya kongsikan juga kisah hidup pengasas Kentucky Fried Chicken (KFC), Kolonel Sanders, dalam artikel ini.

Artikel ini agak panjang. Oleh itu bagi tujuan memudahkan pembacaan, artikel ini akan ditulis seperti gaya penulisan Tun Dr. Mahathir, iaitu menggunakan nombor 😀

  1. Kentucky Fried Chicken (KFC) merupakan sebuah rangkaian perniagaan yang diasaskan oleh Kolonel Harland Sanders. Gelaran Kolonel ini merupakan gelaran kehormat tertinggi yang diberikan oleh gabenor negeri Kentucky kepada beliau pada tahun 1950.
  2. Beliau dilahirkan pada tahun 1890 dan membesar di Indiana, Amerika Syarikat. Ketika beliau berumur 6 tahun, bapanya meninggal dunia dan dia terpaksa menjaga kedua adik lelaki dan adik perempuannya sementara ibunya bekerja.
  3. Ketika berumur lebih 12 tahun, beliau berhenti belajar kerana lebih minat untuk bekerja. Antara kerja yang pernah dilakukannya ialah menjadi pekerja ladang, bekerja menjaga enjin keretapi stim, menjadi operator feri, menjual tayar serta menjadi ejen insuran.
  4. Pada tahun 1930, beliau membeli sebuah stesen minyak yang lengkap dengan ‘diner’ ataupun restoren kecil. Disebabkan populariti makanan yang dijual di situ, pam-pam minyak di stesen tersebut dibuang lalu diubah sepenuhnya menjadi sebuah restoran yang lebih besar.
  5. ‘Original Recipe’ iaitu resepi gorengan ayam beliau yang terkenal sehingga sekarang itu ditemui beliau pada tahun 1939. Pada masa tersebut, beliau mendapati bahawa rasa ayam yang digoreng menggunakan 11 herba dan rempah rahsia di dalam periuk tekanan tersebut adalah sedap dan konsisten.
  6. Pada 1952, beliau memulakan perniagaan sampingan memfrancaiskan resepi ayam goreng ciptaannya. Pada tahun ini, beliau membuat perjanjian dengan seorang rakannya yang membenarkan rakannya tersebut menjual ayam goreng dengan resipi ciptaannya. Beliau menerima 4 sen bagi setiap ayam goreng yang yang dijual di restoren tersebut.
  7. Pembinaan lebuhraya baru yang memintas kawasan di mana restorennya terletak menyebabkan beliau mengalami kerugian. Akhirnya beliau terpaksa menjual restoren tersebut.
  8. Beliau mula mengembangkan francaisnya setelah restoren miliknya itu terjual. Beliau dan isterinya mengunjungi restoren-restoren di kawasan lain, membuat tawaran kepada pemilik restoren tersebut untuk menggoreng ayam dengan resepi miliknya dan jika pemilik restoren tersebut menyukainya, perjanjian seperti sebelum ini akan dibuat.
  9. Pada oktober tahun 1963, beliau didekati oleh seorang pelabur bagi membeli pemilikan lesen francaisnya namun beliau tidak bersetuju.
  10. Akhirnya, setelah lama dipujuk, beliau bersetuju menjual hak pemilikan lesen tersebut pada tahun 1965. Di bawah kontrak perjanjian ini, syarikat Kentucky Fried Chicken akan memperkenalkan dan membuka cawangan restoren KFC ke seluruh dunia tanpa mengkompromi resipi asal ayam gorengan yang diperkenalkan oleh Kol. Sanders.

Apa yang saya belajar daripada kisah Kolonel Sanders ini?

Pertama, jangan takut untuk melakukan sesuatu yang diminati. Kol. Sanders suka memasak malah dikatakan bahawa beliau sudah mula memasak dengan baik sejak berumur 7 tahun. Kemahiran yang dimiliki beliau ini membolehkan resepi ayam KFC yang sedap ini dinikmati di seluruh dunia.

Kedua, tidak pernah ada istilah terlambat untuk memulakan sesuatu. Yang ada hanyalah samada buat atau tidak. Seperti Kol. Sanders, beliau memulakan perniagaan restorennya bermula ketika umurnya 40 tahun. Resipi ayam gorengnya yang terkenal itu pula dihasilkan ketika beliau berumur hampir 50 tahun. Ketika berumur 75 tahun pula, beliau menjadi hartawan.

Ketiga, masalah perlu dihadapi dengan tenang kerana masalah selalunya akan mendatangkan peluang. Siapa sangka, setelah kerugian apabila terpaksa menjual restoren miliknya, Kol. Sanders akhirnya menjadi francaisor kepada lebih 600 buah restoren di Amerika Syarikat dan Kanada sebelum pemilikan lesen francais tersebut dijual.

Semoga artikel ini bermanfaat 🙂

One Reply to “Kisah Pengasas KFC Yang Tak Ramai Tahu”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *