Pengalaman Menghantar Motosikal Dari Sarawak Ke Semenanjung (Kelantan) Menggunakan MasKargo

Saya baru sahaja pulang dari Sarawak Bumi Kenyalang, sedikit lewat cuti sekolah saya bermula kerana terpaksa menguruskan proses penghantaran motosikal dari Bintulu ke Kota Bharu menggunakan MasKargo. Insya Allah dalam entri ini saya akan menceritakan sedikit sebanyak pengalaman saya menggunakan perkhidmatan MasKargo ini.

Fz150i

Seperti kebiasaan, saya akan membuat carian maklumat terlebih dahulu melalui internet sebelum menggunakan sebarang jenis perkhidmatan. Walau bagaimanapun, setelah membuat carian melalui Google, tidak banyak maklumat yang saya jumpa yang berkaitan dengan kos dan proses untuk menghantar sesebuah motosikal dari Sarawak atau Sabah ke semenanjung.

Ada antara maklumat yang saya dapati tersebut mencadangkan penghantaran menggunakan perkhidmatan kurier seperti SkyNet ataupun PosLaju, namun setelah membuat sedikit penelitian, kurier-kurier ini akan menggunakan khidmat kapal laut yang kadangkala memakan masa berminggu-minggu. Kos harga untuk penghantaran menggunakan kapal laut ini pula adalah sekitar RM700 (betulkan saya jika salah) bagi penghantaran antara dua pelabuhan (contohnya dari pelabuhan di Kuching ke Pelabuhan Klang).

Akhirnya saya membuat keputusan untuk menghantar motosikal tersebut menggunakan khidmat MasKargo kerana berdasarkan review yang saya baca, ianya lebih cepat dan selamat. Sebelum menggunakan perkhidmatan ini, saya ke MasKargo cawangan Bintulu yang terletak di Lapangan Terbang Bintulu bagi mendapatkan maklumat yang lebih terperinci. Menurut pegawai di sana, antara dokumen yang perlu disediakan oleh penghantar ialah:

1. Dua salinan kad pengenalan
2. Dua salinan geran motosikal
3. Dua salinan roadtax motosikal
4. Dua salinan takaful / insuran motosikal

Setelah menyediakan dokumen-dokumen yang diperlukan ini, saya terus menghantar motosikal ke MasKargo Bintulu. Di sana, saya perlu menandatangani beberapa dokumen. Selesai urusan. Salah satu dokumen tersebut perlu dibawa ke gudang MasKargo (dalam kes saya, MasKargo Kota Bharu) ketika mahu mengambil kenderaan yang dihantar, selepas dihubungi oleh pegawai MasKargo di situ.

Habis cerita tentang proses, sekarang tentang kos pula. Bagi penghantaran motosikal, kosnya sangat berkait dengan berat motosikal yang dihantar. Berdasarkan pengiraan yang dibuat oleh pegawai di MasKargo Bintulu, kadar caj bagi setiap kilogram adalah RM 5.02 bagi motosikal, tidak termasuk caj-caj lain. Jadi caj penuh yang perlu saya bayar ialah:

1. Caj berat motosikal : 124 kg x RM 5.02 = RM622.48
2. Caj-caj lain (lokasi, insuran dll) = RM 176.75
3. Caj ejen = RM 300 (caj menguruskan deklarasi kastam dll, mungkin boleh jimat jika buat sendiri)
4. Caj buang minyak = RM 20 (boleh buang sendiri jika mahu jimat)
RM 1119.23 !

Saya ada bertanya juga tentang kos penghantaran jika destinasinya adalah Kuala Lumpur. Pengiraan pegawai di MasKargo tersebut menunjukkan bahawa kosnya adalah sekitar RM 900. Sedikit mahal berbanding menggunakan kurier atau terus dengan kapal laut tapi lebih cepat dan mudah sebenarnya jika menggunakan khidmat MasKargo. Tambahan pula jika kos-kos dan caj no.3 dan no.4 yang dinyatakan sebelum ini dapat dijimatkan.

Selain itu, untuk menghantar kereta pula, kosnya adalah sekitar RM7000 bergantung kepada berat dan lokasi kereta tersebut ingin dihantar. Walau bagaimanapun, menurut pegawai di MasKargo Bintulu, hanya MasKargo Kuching yang dapat menguruskan penghantaran kereta ke semenanjung kerana tiada fasiliti yang sesuai di MasKargo Bintulu untuk tujuan tersebut.

Itu sahajalah sedikit sebanyak pegalaman pertama saya menggunakan perkhidmatan MasKargo 🙂

8 Replies to “Pengalaman Menghantar Motosikal Dari Sarawak Ke Semenanjung (Kelantan) Menggunakan MasKargo”

    1. Waalaikumussalam. Insya Allah, setahu saya boleh kalau dari Kuching . Setahu saya nouvo lebih ringan (+- 105kg) dan jarak antara Kuching ke Kuala Terengganu lebih dekat jika dibandingkan dengan jarak antara Bintulu ke Kota Bharu. Mungkin kosnya juga lebih rendah berbanding kos yang saya keluarkan untuk hantar Fz ni. Tapi untuk selamat, Aisha boleh sediakan sekitar 1k dan dapatkan confirmation harga sebenar dari MasKargo Kuching. Boleh bawa nouvo tu ke sana untuk ditimbang. Boleh juga cuba call pegawai di MasKargo Kuching di no ni 0682 587 554 / +6082 587 555. Harap membantu 🙂

        1. Yup. Mmg akan sampai ke Airport Terengganu kalau destination dia situ. Masa dia tunjuk borang tu check betul 2 samada alamat dan destinasi tu betul

    1. Waalaikumussalam. Proses untuk setelkan tu tak lama. Yang penting sediakan dokumen yang diperlukan, dan wang untuk pembayaran. Kalau saya dulu, dalam 2 jam dah siap semua urusan..

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *