Menambahkan Fungsi Komen Dalam Ghost Menggunakan Disqus

Alhamdulillah. Ini merupakan hari kedua saya menggunakan Ghost dan banyak perkara baru yang saya belajar bagi menambahbaik fungsi blog ini. Salah satunya ialah bagaimana saya akhirnya dapat menambahkan fungsi komen dalam blog ini.

Perkara ini saya lakukan dengan menggunakan servis daripada Disqus beserta fungsi integrasi Disqus yang mudah melalui tema Bleak.

Kenapa Perlu Guna Disqus?

Satu perkara yang menyebabkan saya kurang seronok sebaik menggunakan Ghost ini ialah ketiadaan fungsi untuk komen. Walaupun blog saya yang lain menerima jumlah komen yang tidak terlalu banyak, namun dengan fungsi komen inilah saya dan blogger-blogger lain dapat berinteraksi dengan pembaca yang sudi singgah diblog.

Ketiadaan fungsi komen ini sememangnya disengajakan oleh pembangun Ghost. Sebabnya? Saya sendiri kurang pasti. Oleh itu, hampir semua pengguna platform Ghost ini akan menggunakan salah satu daripada empat servis dibawah bagi menambahkan fungsi komen di blog:

  1. Facebook Comment (Dev)
  2. NodeBB
  3. Livefyre
  4. Disqus

Walau bagaimanapun, pilihan paling popular ialah menggunakan Disqus. Ini kerana, kebanyakan tema-tema baru yang dihasilkan untuk Ghost mempunyai fungsi yang menyokong integrasi komen daripada Disqus.

Selain itu, dengan menggunakan Disqus, akan memudahkan saya jika suatu hari nanti saya ingin berpindah ke platform lain pula. Ini kerana, Disqus akan mengekalkan komen-komen sedia ada walaupun setelah berpindah.

Bleak, Tema Ghost Yang Menyokong Integrasi Disqus

Setelah membuat carian internet, banyak tema yang menyokong integrasi komen Disqus. Kebanyakannya tema yang berbayar. Jika ada yang percuma pun, penampilan tema-tema percuma tersebut tidak menarik perhatian saya.

Kecuali satu. Tema Bleak daripada Zutrinken.

bleak demo

Bagaimana Tema Bleak Memudahkan Integrasi Disqus Pada Blog Ghost

Kebanyakan tema lain memerlukan saya untuk mengubahsuai kod yang terdapat pada fail tema yang akan digunakan. Walau bagaimanapun, dengan menggunakan tema Bleak ini, hanya beberapa langkah saja yang perlu saya lakukan iaitu:

  1. Mendaftar di web Disqus bagi mendapatkan Disqus Shortname
  2. Memasang dan mengaktifkan tema Bleak menggunakan fungsi Upload dan Activate yang terdapat dalam bahagian Setting di ruang admin
  3. Memasukkan shortname Disqus menggunakan kod <script>var disqus="YOUR_DISQUS_SHORTNAME";</script> pada ruang blog header script di bahagian Code Injection.

Hasilnya, ruang komen mula dipaparkan pada bahagian bawah setiap artikel di blog.

Disqus

Rumusan

Setakat ini, saya masih berpuas hati menggunakan platform blogging Ghost. Insya Allah, nanti saya akan cuba menambahkan fungsi-fungsi lain yang dirasakan perlu untuk blog ini.

Saya sendiri sebenarnya masih baru dengan Disqus dan akan belajar untuk menggunakannya secara optima.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *